KOTA KINABALU, 11 Okt : Kerajaan negeri Sabah membenarkan kanak-kanak bawah 12 tahun untuk makan di premis (dine-in), dan masuk ke premis perniagaan ditemani ibu bapa yang menerima dos lengkap vaksin COVID-19, berkuat kuasa esok.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun berkata premis perniagaan terlibat termasuk pusat membeli belah serta fasilti perhotelan, dan kanak-kanak juga dibenarkan menyertai aktiviti perkelahan serta perkemahan.
Jurucakap COVID-19 Sabah itu berkata remaja berusia 12 hingga 18 tahun yang sudah menerima dos pertama vaksin COVID-19 turut diberi kebenaran yang sama.
“Penduduk diingatkan supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan yang ditetapkan,” katanya menerusi kenyataan malam ini.
Sementara itu beliau berkata 69.9 peratus atau 1.92 juta penduduk dewasa dan 22 peratus atau 91,683 remaja telah menerima vaksin lengkap COVID-19 di negeri ini. – BERNAMA
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost