Sabah Sasar 80% Lengkap Vaksin Pada Awal November

KOTA KINABALU: Sasaran 80 peratus penduduk dewasa lengkap vaksin di Sabah dijangka dicapai pada minggu pertama atau kedua November depan, berbanding sasaran awal pada akhir bulan ini.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, ia berikutan tujuh daerah di seluruh negeri belum mencapai 60 peratus penduduk dewasa lengkap vaksin ketika ini.

Katanya, walaupun secara keseluruhan Sabah sudah mencatat 68 peratus penduduk dewasa lengkap vaksin sehingga kelmarin, masih ada daerah khususnya di kawasan pantai timur yang ketinggalan dari segi peratusan vaksinasi.

Berikutan itu, katanya usaha kini ditingkatkan untuk mempergiat program vaksinasi khususnya di Sandakan dan daerah pantai timur yang lain berikutan kadar vaksinasi di kawasan terbabit masih rendah.

“Setakat 6 Oktober ini, pencapaian pemberian vaksin bagi penduduk dewasa di Sabah untuk dos pertama ialah 74.8 peratus dan dos kedua pula ialah 68 peratus.

“Namun, ada tujuh daerah daripada 26 daerah di Sabah yang masih mencatat bawah 60 peratus bagi pemberian lengkap vaksin (dua dos) kepada golongan dewasa.

“Berikutan itu, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan Pejabat Daerah terus meningkatkan usaha untuk mencari dan mendekati golongan dewasa yang belum menerima vaksin,” katanya mengulas punca kadar vaksinasi di Sabah yang masih rendah berbanding negeri lain.

Sehubungan itu, beliau berkata, pemberian vaksin masih diteruskan sama ada melalui Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sedia ada atau program jangkauan luar yang dianjurkan di seluruh negeri.

Ketika ini, daerah yang belum mencapai 60 peratus penduduk dewasa lengkap vaksin masih dikenakan sekatan rentas daerah, manakala daerah yang sudah mencapai peratusan itu beralih ke sekatan mengikut zon yang dibahagikan kepada lima zon, sejak 1 Oktober lalu.

Setakat ini, daerah yang masih dikenakan sekatan rentas daerah ialah Papar, Nabawan, Kalabakan, Tawau, Semporna, Kinabatangan, Sandakan, Telupid dan Tongod. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *