Penyu Dibunuh Kejam, Isi Dimasak Disimpan Dalam Dua Karung

Semua penemuan termasuk peralatan memasak yang keseluruhan dianggarkan RM8,200, dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna untuk tindakan selanjutnya. – Foto PGA

KOTA KINABALU: Sebanyak 11 penyu hijau ditemukan sudah dilapah, termasuk isinya diambil untuk dijadikan santapan susulan penemuan bangkai haiwan malang itu di perairan Pantau-Pantau, Pulau Bum-Bum, Semporna, Sabah.

Bangkai penyu itu yang sudah mula mereput ditemui 6 pagi, hari ini, oleh pasukan keselamatan yang menjalankan Op Bersepadu Khazanah.

Komander Briged Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah Abdul Rani Alias, berkata pihaknya menemui sisa yang bersepah di perairan berkenaan bersama anggota Jabatan Hidupan Liar Sabah dan Jabatan Perhutanan Sabah yang terbabit operasi sama.

Katanya, mereka juga menemui sebatang kail dipercayai digunakan untuk menangkap penyu.

“Selain itu, kita menemui dua karung berisi isi penyu yang sudah dimasak, bangkai penyu dan peralatan memasak.

“Namun pemeriksaan di sekitar lokasi tidak menemui suspek yang melakukan kegiatan berkenaan,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Abdul Rani berkata, semua penemuan termasuk peralatan memasak yang keseluruhan dianggarkan RM8,200, dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *