Jumpa Mayat Dalam Longkang Di Bandar Sibuga

Anggota bomba membawa naik mayat lelaki yang ditemui dalam longkang di Bandar Sibuga hari ini. – Foto BOMBA

SANDAKAN: Mayat lelaki dipercayai terkena renjatan elektrik ditemui dalam longkang di Bandar Sibuga, Batu 8, pagi tadi.

Dalam kejadian 6.30 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Mohd Nasir Hasaan, 30, ditemui orang awam sebelum melaporkan kepada pihak berkuasa.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.32 pagi.

Katanya, sembilan anggota bergegas ke lokasi kejadian menggunakan sebuah jentera bagi menjalankan pemeriksaan lanjut.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian sejauh sepuluh kilometer dari BBP Sandakan, kami menemui seorang lelaki dalam longkang dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Lelaki berkenaan dipercayai terkena renjatan elektrik dan sebelum usaha membawa mangsa ke kawasan selamat, kerja pemotongan bekalan elektrik perlu dilakukan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, pegawai perubatan mengesahkan lelaki itu sudah meninggal dunia.

“Mayat diserahkan kepada polis dan dihantar ke Bilik Mayat Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan untuk tindakan lanjut,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *