Kes Positif Baharu Covid-19 Di Sabah Terus Menurun

Datuk Seri Masidi Manjun.

KOTA KINABALU: Kes positif baharu Covid-19 terus menurun kepada 872 kes berbanding 993 kes yang dilaporkan semalam.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, pesakit bagi kategori 3 hingga 5 semakin berkurang iaitu hanya 13 orang manakala, pesakit kategori 1 pula seramai 165 orang dan seramai 642 orang bagi kategori 1. Sementara 52 kes lagi masih dalam siasatan lanjut.

Trend ini sejajar dengan pertambahan peratusan penduduk yang lengkap divaksin. Walaupun individu yang sudah lengkap divaksin masih boleh dijangkiti virus namun, mereka tidak akan mengalami gejala serius seperti pesakit yang belum menerima vaksin.

Hari ini terdapat 872 kes positif dan Kota Kinabalu masih mencatatkan kes tiga angka dengan 107 kes diikuti Lahad Datu 83 kes, Keningau 62 kes, Sandakan 54 kes dan Penampang 47 kes.

Berdasarkan kes hari ini, saringan tertunggak semakin berkurangan secara signifikan iaitu kes daftar lewat melebihi lima hari hanya dua kes manakala, 30 kes daftar lewat antara empat hingga lima hari dan 343 kes lewat daftar antara dua hingga tiga hari selepas saringan keputusan diketahui.
Masidi berkata, hari ini ialah permulaan perlaksanaan sistem rentas daerah dalam zon. Kelonggaran ini dibuat untuk membantu menyemarakkan semula kegiatan-kegiatan ekonomi rakyat yang banyak terjejas akibat pandemik Covid-19. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *