Sabah Kuat Kuasakan Peraturan ‘Lengkap Divaksin’ Bermula 1 Oktober

Pemilik perniagaan diarahkan memastikan pelanggan yang masuk ke premis mereka menunjukkan bukti telah lengkap divaksin, selain aplikasi MySejahtera mesti memaparkan status risiko rendah.

KOTA KINABALU: Sabah akan menguatkuasakan sepenuhnya peraturan bahawa hanya pekerja dan pelanggan yang lengkap divaksin dibenarkan memasuki premis perniagaan.

Peraturan berkenaan sebelum ini pernah dikuatkuasakan pada pertengahan Ogos lalu, namun kerajaan negeri mengambil keputusan melonggarkan syarat itu selepas mengambil kira kadar vaksinasi rendah di situ.

Bagaimanapun, kerajaan negeri mengambil pendirian kembali menguatkuasakan peraturan itu selepas kadar vaksinasi di Sabah sehingga semalam merekodkan 63.5%. Pada masa sama, jumlah suntikan vaksin meningkat ketara di kebanyakan daerah.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Masidi Manjun, berkata pemilik kedai mesti memastikan hanya individu yang membuktikan mereka sudah lengkap divaksin dibenarkan memasuki premis, selain aplikasi MySejahtera memaparkan status berisiko rendah.

Masidi berkata, kerajaan negeri turut mengambil keputusan membenarkan pembukaan semula perniagaan spa, salon kecantikan, pusat kesihatan dan refleksologi, serta perkhidmatan merias kuku, bermula 1 Oktober ini.

Kerajaan negeri juga bersetuju membenarkan pusat atau produk pelancongan antaranya seperti sektor mempromosi ‘edutainment’, aktiviti ekstrem dan pengembaraan, serta taman tropika, mulai 1 Oktober.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *