Sabah Benarkan Spa, Pusat Refleksologi & Zoo Dibuka Bermula 1 Oktober

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah membenarkan pembukaan semula beberapa lagi aktiviti pelancongan dan rekreasi serta premis berkaitan perkhidmatan kecantikan dan kesihatan bermula Jumaat ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun berkata, zoo dan taman rimba adalah antara aktiviti berkaitan pelancongan dan rekreasi yang akan dibuka semula.

Taman Hidupan Liar Zoo Lok Kawi

Katanya, kebenaran itu turut merangkumi pembukaan semula semua jenis pusat, premis dan produk pelancongan seperti akuarium, pusat edutainment serta pusat ekstrem dan adventure.

“Semua ini dibenarkan beroperasi bermula 1 Oktober dengan syarat semua pengusaha atau operator dan pengunjung sudah lengkap divaksin dan berstatus risiko rendah Covid-19,” katanya dalam kenyataan media, malam tadi.

Kerajaan negeri sebelum ini sudah membenarkan pembukaan destinasi pelancongan dengan kebanyakan lokasi tumpuan pelancong di bawah pengurusan Taman-Taman Sabah seperti Taman Kinabalu di Kundasang, dibuka sejak 16 September lalu.

Pengumuman terbaharu itu juga selari dengan langkah kerajaan negeri menamatkan sekatan rentas daerah mulai 1 Oktober ini yang akan digantikan dengan sekatan rentas zon.

Menerusi sekatan zon, Sabah dibahagikan kepada enam zon berbeza dengan setiap zon mengandungi beberapa daerah seperti yang pernah dilaksanakan pada awal tahun ini.

Menerusi prosedur operasi standard (SOP) baharu itu, tiada lagi sekatan rentas daerah dikenakan dalam zon yang sama, kecuali bagi daerah yang belum mencapai 60 peratus penduduk dewasa lengkap vaksin.

Sementara itu, Masidi yang juga jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah berkata, mulai Jumaat ini juga, premis spa, salun kecantikan, refleksologi, pusat kesihatan dan urut kesihatan dibenar dibuka semula.

Dalam pada itu, Masidi berkata pemilik premis perlu memastikan individu yang memasuki premis mereka berstatus risiko rendah Covid-19 dan menunjukkan bukti sudah lengkap vaksin.

Katanya, bukti lengkap vaksin boleh ditunjukkan menggunakan sijil digital vaksinasi Covid-19 dalam aplikasi MySejahtera atau kad vaksinasi Covid-19.

“Orang ramai juga boleh menunjukkan kad peringatan vaksin yang diberikan Kementerian Kesihatan di pusat pemberian vaksin (PPV) bagi individu yang tidak memiliki telefon pintar atau tiada akaun aplikasi MySejahtera,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *