Dua Pengedar Dadah Ditahan Di Kinarut

PAPAR: Dua lelaki ditahan selepas disyaki menjalankan kegiatan pengedaran dadah dalam operasi yang dijalankan di kawasan Kinarut, di sini, semalam.

Kedua-dua lelaki terbabit ditahan dalam operasi yang dijalankan secara bersepadu membabitkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJB) Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Sabah dan BSJN Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar.

Ketua Polis Daerah Papar Deputi Superintendan Batholomew Umpit berkata, kedua-dua suspek adalah warga tempatan berusia 20-an.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut, polis menemui dadah seberat 86.64 gram yang dipercayai untuk dijual kepada penagih dadah sekitar daerah Papar.

“Hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap kedua-dua suspek turut didapati positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan pesalah boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Batholomew berkata, kejayaan tangkapan ini adalah salah satu usaha berterusan polis dalam mengatasi masalah penyalahgunaan dadah.

Katanya, ia juga sebagai salah satu langkah terbaik dalam mencegah sebarang aktiviti jenayah di daerah Papar.

“Orang ramai juga dinasihatkan untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan dadah dan jenayah di daerah ini kepada pihak polis atau IPD Papar khususnya untuk tindakan segera,” katanya. -AsiaTimes

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *