Sentuhan Kasih RM7.3 Juta Untuk Semua ADUN Termasuk Pembangkang – KM Sabah

Hajiji Noor ketika menyampaikan ucapan penggulungannya pada sidang DUN Sabah hari ini. – Foto JKM

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Hajiji Noor hari ini mengumumkan peruntukan berjumlah RM7.3 juta untuk disalurkan kepada semua 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sabah.

Katanya, bantuan “one-off” atau sekali beri sebanyak RM100,000 yang dipanggil Sentuhan Kasih itu diharapkan dapat memudahkan semua wakil rakyat dan pemimpin setempat membantu rakyat yang memerlukan bantuan.

“Sebagai komitmen kebersamaan atas semangat Keluarga Malaysia, sukacita saya mengumumkan bahawa kerajaan negeri bersetuju untuk menyalurkan bantuan ‘one-off’ Sentuhan Kasih kepada semua 73 kawasan DUN dengan peruntukan sebanyak RM7.3 juta.

“Ini merupakan tambahan kepada pelbagai jenis bantuan sedia ada yang telah dan sedang disalurkan oleh kerajaan negeri dan persekutuan,” katanya dalam ucapan penggulungannya pada persidangan DUN Sabah.

Sementara itu Hajiji berkata, semua wakil rakyat di Sabah perlu terus mempamerkan nilai Keluarga Malaysia yang telah amalkan sejak dahulu lagi.

Beliau juga memohon agar semua wakil rakyat bersatu padu dan menggembleng tenaga untuk memajukan dan mensejahterakan seluruh rakyat di negeri ini.

“Kita ketepikan fahaman politik dan ‘less politicking’, kita tumpukan kepada usaha untuk membangunkan negeri dan mensejahterakan rakyat.

“Rakyat Sabah sudah jauh ketinggalan dalam pelbagai bidang berbanding dengan rakyat Malaysia di Semenanjung. Siapa lagi yang boleh memajukan orang kita kalau bukan pemimpin dalam kalangan kita sendiri,” katanya.

Pada Februari, kerajaan Sabah juga telah mengumumkan peruntukan RM100,000 bagi setiap 31 ADUN pembangkang di negeri itu bagi membantu rakyat di kawasan masing-masing yang terkesan akibat wabak Covid-19. – FMt

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *