Kanak-kanak Lelaki Dua Tahun, Dikesan Kes Indeks Kluster Lungkidau Di Sabah

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun.

KOTA KINABALU : Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun dikesan menjadi kes indeks bagi satu kluster baharu iaitu Kluster Lungkidau di Ranau melibatkan jangkitan 134 kes direkodkan setakat hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun berkata ia dikesan hasil daripada saringan pra kemasukan wad  pada 7 Sept lalu sebelum bapa kepada kes indeks juga didapati positif COVID-19 hasil saringan pengiring kemasukan wad pada hari yang sama. 

“Siasatan awal mendapati bapa kepada kes indeks mempunyai rekod menghadiri mesyuarat dan gotong-royong membersihkan lot tanah penanaman sawit di Mukim Paginatan.

Selain itu, dia juga terlibat dalam beberapa aktiviti melibatkan perkumpulan orang, gotong-royong pembaikan jambatan di Kampung Lungkidau dan merintis jalan laluan utama kereta untuk masuk ke kawasan perkuburan,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Masidi yang juga jurucakap COVID-19 negeri berkata saringan kontak rapat dijalankan mulai 7 hingga 20 Sept melibatkan 177 orang.

Sementara itu, Masidi berkata lebih 1.94 juta atau 70.6 peratus penduduk dewasa, dan 124,393 atau 29.2 peratus penduduk remaja Sabah telah menerima suntikan pertama vaksin COVID-19.

Beliau juga berkata 1,291 kes positif COVID-19 direkodkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif 188,123 kes, dan 1,837 pesakit sembuh menjadikan jumlah kumulatif 164,380 orang, manakala 3,888 pesakit sedang mendapatkan rawatan. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *