Pejabat Kerajaan Sabah Operasi Dengan 80% Kehadiran

KOTA KINABALU: Semua pejabat kerajaan negeri akan beroperasi dengan kehadiran 80 peratus kakitangan bermula esok.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun, berkata hanya 20 peratus kakitangan dibenarkan bekerja dari rumah.

“Semua kakitangan yang hadir ke pejabat dan pelanggan serta pengunjung di jabatan masing-masing hendaklah sudah lengkap divaksin,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Sebelum ini, hanya 30 peratus kakitangan awam negeri dibenarkan hadir ke pejabat, manakala 70 peratus lagi bekerja dari rumah.

Prosedur operasi standard (SOP) itu dilaksanakan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh pada awal Jun lalu.

SOP operasi jabatan negeri berbeza dengan operasi jabatan persekutuan yang menetapkan 60 peratus kakitangan bekerja di pejabat manakala 40 peratus dari rumah.

Sementara itu, kerajaan negeri hari ini turut memperincikan kebenaran aktiviti sukan dalam Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) di Sabah yang merangkumi lima kategori iaitu sukan dan rekreasi, seni mempertahankan diri, sukan raket, sukan berpasukan dan aktiviti air.

Bagaimanapun, Masidi berkata tiada aktiviti sukan untuk pertandingan dibenarkan, kecuali yang dikendalikan Kementerian Belia dan Sukan secara gelembung sukan tanpa kehadiran penonton.

Kerajaan negeri turut membenarkan dua pemain golf berkongsi satu buggy dengan syarat ada pemisah atau dinding plastik antara kedua-dua pemain.

Masidi yang juga jurucakap COVID-19 Sabah, berkata catatan harian kes COVID-19 di Sabah terus menunjukkan penurunan dengan hanya 1,255 kes hari ini, berbanding 1,356 kes semalam.

Kes kematian akibat COVID-19 di Sabah turut mencatat penurunan kepada 19 kes hari ini berbanding 35 semalam. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *