RANAU: Polis menahan lima lelaki yang dipercayai “pakar” dalam membuat senjata api buatan sendiri dalam beberapa serbuan di sekitar pekan ini, baru-baru ini.
Sebanyak 20 laras senjata api jenis bakakuk, ginsuk, senapang angin dan senapang guli serta puluhan peluru hidup turut dirampas dalam serbuan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Ranau, Simiun Lomudin berkata, tangkapan pertama membabitkan seorang suspek berusia 30 tahun di sebuah rumah di Kampung Kigiuk, dekat sini, pada 10 Sept lalu.
Sebaik ditahan katanya, polis merampas dua laras senjata api bersama 11 butir peluru hidup, 30 butir pelet senapang angin dan peralatan membuat senjata api.
“Hasil daripada penahanan suspek, polis meneruskan operasi dengan menyerbu beberapa lagi lokasi sekitar daerah ini dan menahan empat lagi suspek berusia 29 hingga 57 tahun.
“Dalam serbuan itu, polis berjaya merampas tujuh laras bakakuk, 11 laras senapang bersama peluru hidup dan pelet senapang angin,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Ranau.
Simiun berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 7 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang enam sebatan, jika sabit kesalahan.- FMT
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost