Jawatankuasa Khas Kaji Masalah Banjir Kilat Ditubuhkan

KOTA KINABALU: Satu jawatankuasa khas ditubuhkan kerajaan Sabah bagi mengkaji masalah banjir kilat yang kerap berlaku di negeri terbabit sejak kebelakangan ini.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, jawatankuasa yang dipengerusikan beliau ini akan meninjau dan mengkaji punca sebenar banjir kilat yang sering berlaku.

“Apabila hujan lebat antara empat hingga lima jam, kita dapat lihat banjir kilat pasti berlaku namun kita tidak tahu punca sebenar masalah ini.

“Jadi, kita akan buat kajian untuk mengenal pasti punca sekali gus mencari kaedah penyelesaian bersesuaian. Kita juga akan melakukan perubahan sekiranya terdapat pendekatan bersesuaian,” katanya ketika sidang media selepas menghadiri Majlis Menandatangani Nota Kerjasama Antara Jabatan Kerja Raya Persekutuan dan Jabatan Kerja Raya Sabah, dekat sini, hari ini.

Nota kerjasama berkenaan ditandatangani oleh Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Mohamad Zulkefly Sulaiman dan Pengarah Kerja Raya Sabah, Ir Ali Ahmad Hamid dan disaksikan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Joseph Kurup serta Bung Moktar.

Mengulas berkaitan situasi banjir yang berlaku di daerah Penampang baru-baru ini, Bung Moktar berkata, beliau tidak menolak kemungkinan pembinaan projek Lebuh Raya Pan Borneo yang sedang dilaksanakan ketika ini menjadi satu daripada punca masalah banjir di sesetengah kawasan.

Beliau berkata, banjir turut mengakibatkan bekalan air di beberapa kawasan terputus ekoran loji rawatan air ditenggelami banjir.

“Proses pembersihan loji air yang berlumpur memerlukan sedikit masa untuk proses pembersihan serta mengganti bahagian yang rosak.

“Sekiranya ada bahagian yang mengalami kerosakan, ia akan mengambil masa kira-kira sebulan untuk diganti baharu kerana peralatan ini perlu ditempah daripada luar negara. “Bagaimanapun, kita berharap tiada bahagian yang rosak teruk dalam kejadian banjir baru-baru ini,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *