Kerajaan Janji Beri Perhatian Isu Sabah & Sarawak Melalui Majlis MA63, Kata PM

Ismail Sabri Yaakob berkata Majlis Khas MA63 membuktikan kerajaan komited dalam memberi perhatian terhadap isu yang berkaitan dengan pelbagai perkara penting bagi Sabah dan Sarawak.

KOTA KINABALU: Kerajaan berjanji akan memberi perhatian terhadap isu yang berkaitan dengan kepentingan Sabah dan Sarawak melalui Majlis Khas MA63, kata Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, kerajaan akan memberi jaminan untuk terus memperhalusi perkara-perkara yang perlu diselesaikan melalui rundingan, menerusi Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Katanya, Majlis Khas MA63 yang dipengerusikan olehnya, dianggotai Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor dan Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg serta lapan menteri persekutuan.

“Usaha ini membuktikan, kerajaan komited dalam memberi perhatian terhadap isu yang berkaitan dengan pelbagai perkara penting bagi negeri Sabah dan Sarawak,” katanya dalam Perutusan Perdana Menteri sempena Sambutan Hari Malaysia 2021 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu yang disiarkan secara langsung melalui TV1.

Terdahulu, Presiden Parti Cinta Sabah, Anifah Aman dalam perutusan sempena sambutan Hari Malaysia hari ini berkata Umno perlu memastikan janji untuk mengembalikan semula hak Sabah seperti termaktub dalam MA63 selepas parti itu kembali berkuasa, dilaksanakan dengan segera.

Katanya, tiada sebab hal ini dilengah-lengahkan atau diberi pelbagai alasan memandangkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sendiri telah membuat janji tersebut, malah mengatakan bahwa apa pun kekangan yang timbul akan diatasi demi memastikan ianya terlaksana.

Zahid, ketika berkempen pada pilihan raya kecil Kimanis tahun lepas, telah berjanji sekiranya kerajaan Barisan Nasional (BN) menerusi Umno diberi mandat berkuasa semula, akan “melaksanakan MA63 100%.”

Dalam pada itu, Ismail turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM4.66 bilion bagi Sabah dan RM4.47 bilion bagi Sarawak.

Katanya, peruntukan itu bakal disalurkan melalui peruntukan pembangunan di bawah Rolling Plan 1 2021, Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12), yang akan dibentangkan di Parlimen pada 27 Sept ini.

“Peruntukan pembangunan ini merupakan antara yang tertinggi berbanding negeri-negeri lain.

“Ini adalah bukti komitmen tinggi kerajaan ke arah meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan penduduk di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Ismail berkata kerajaan memperuntukkan RM7.7 bilion bagi tempoh lima tahun sebagai langkah siap siaga negeri Sabah dan Sarawak beralih kepada teknologi 5G.

Katanya, Sabah diperuntukkan sebanyak RM3.61 bilion dan Sarawak RM4.09 bilion.

“Jaminan saya, kerajaan terus komited memperbaiki perkhidmatan jalur lebar di kedua-dua negeri ini,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *