Hujan Lebat & Angin Kencang, Banjir Kilat Di Sekitar KK

Beberapa kawasan yang dilaporkan dinaiki air adalah Kolombong, Luyang, Inanam termasuk kawasan perkampungan di Penampang.

KOTA KINABALU: Hujan lebat dan angin kencang beberapa jam lalu mengakibatkan sebahagian besar kawasan sekitar bandar raya ini terjejas akibat banjir kilat.

Keadaan air yang mula naik sehingga paras hampir satu meter itu turut menyebabkan beberapa jalan utama sekitar bandar raya ini mengalami kesesakan lalu lintas.

Beberapa kawasan yang dilaporkan dinaiki air adalah Kolombong, Luyang, Inanam termasuk kawasan perkampungan di Penampang.

Beberapa rakaman kejadian banjir kilat turut tular di media sosial sehingga memaparkan paras air meningkat mendadak sehingga mencecah paras dada.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata, pihaknya menerima beberapa panggilan kecemasan berkenaan kejadian banjir kilat ini.

Katanya, pasukan bomba kemudiannya melaksanakan bantuan pemindahan kepada mangsa banjir di kawasan Damai berikutan paras banjir sudah mencecah paras satu meter.

“Pihak bomba masih menjalankan operasi pemeriksaan berikutan keadaan hujan yang masih berlanjutan.

“Selain itu, operasi membawa keluar mangsa banjir di Kampung Bantayan , Inanam, turut dijalankan ketika ini,” katanya hari ini.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan mengeluarkan amaran ribut petir di beberapa kawasan di Sabah termasuk pedalaman membabitkan Sipitang, Kuala Penyu dan Beaufort.

Beberapa kawasan lain yang turut diberi amaran ribut petir adalah pantai barat termasuk Papar, Puatatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran, Kota Belud dan Pitas serta Kudat. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost