Penurunan Signifikan Kes Covid-19 Di Beberapa Daerah Sabah – Masidi

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Masidi Manjun

KOTA KINABALU: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Masidi Manjun berkata, walaupun beberapa daerah di negeri itu mencatat kenaikan kes baharu Covid-19, namun beberapa lagi daerah merekodkan penurunan signifikan.

Antara daerah yang mencatatkan penurunan kes hari ini ialah Kota Kinabalu berkurangan sebanyak 194 kes, Kota Marudu (55 kes), Lahad Datu (42 kes), Putatan (39 kes), Kudat (32 kes), Papar (19 kes) dan Keningau (14 kes).

“Sandakan mencatatkan kes tertinggi di Sabah hari ini dengan 255 kes, 10 kes lebih tinggi dari semalam, manakala daerah lain yang mencatat peningkatan kes ialah Tuaran (36 kes), Kinabatangan (28 kes), Pitas (11 kes) dan Tambunan (6 kes).

“Secara keseluruhan, Sabah mencatat penurunan sebanyak 446 kes, iaitu 1,717 kes dicatatkan hari ini berbanding 2,163 kes semalam,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Masidi yang juga jurucakap berkaitan Covid-19 Sabah berkata, 38.3% atau 658 kes yang dicatatkan hari ini adalah kes lewat daftar antara dua hingga tiga hari.

Katanya, 49 kes atau 2.9% pula kes lewat daftar empat hingga lima hari, manakala 67 kes atau 3.9% lewat daftar melebihi lima hari selepas keputusan saringan diketahui.

“Sementara itu, 977 kes atau 56.9% daripada 1,717 kes yang dicatatkan hari ini diperolehi melalui saringan kontak rapat, 464 kes atau 27% melalui saringan bergejala, 67 kes daripada kluster, dua kes daripada saringan bersasar dan 207 kes melalui saringan lain.

“Terdapat 25 kes melibatkan OKT (orang kena tahan), manakala 45.5% daripada kes di Tawau datang daripada saringan bergejala, 44.1% di Penampang, 29.7% di Kota Kinabalu dan 29.4% di Sandakan.”

Beliau berkata, 557 atau 32.4% daripada keseluruhan kes hari ini dalam Kategori 1, 1,026 atau 59.8% Kategori 2, sembilan kes Kategori 3, 11 kes Kategori 4 dan tujuh kes Kategori 5.

Katanya, 107 kes masih dalam siasatan lanjut. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *