Polis Sabah Rampas Syabu Lebih 300 Kilogram Di Tawau

15kg dadah jenis syabu bernilai RM10.91 juta ketika cuba loloskan diri di kawasan Kampung Batu Payung dekat sini, Isnin lepas. – FOTO BERNAMA

TAWAU, 9 Sept : Polis menahan seorang lelaki warga tempatan serta merampas 303.15 kilogram (kg) dadah jenis Syabu bernilai RM10.91 juta ketika cuba meloloskan diri di kawasan Kampung Batu Payung dekat sini, Isnin lepas.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Idris Abdullah berkata hasil maklumat awam, polis mengesan sebuah kenderaan jenis Mitsubishi Triton dipandu suspek berusia 49 tahun di kawasan Membalua, Batu 10 di sini pada 7.30 malam dan mengejar hingga Kampung Batu Payung sebelum berjaya menahan lelaki terbabit.

Polis merampas dadah jenis syabu lebih 300 kilogram dianggarkan bernilai lebih RM10 juta di Kampung Batu Payung, Isnin lalu.

“Pemeriksaan awal dalam kenderaan suspek menemukan 12 beg berisi 290 bungkusan hijau (bertulis Guanyinwang)  mengandungi Syabu, selain turut ditemukan wang tunai RM5,000,” katanya dalam sidang media di sini hari ini. 

Beliau berkata polis mengesahkan turut merampas sepucuk senapang angin dan menyita harta milik suspek bernilai RM147,284.57 termasuk wang dalam akaun bank berjumlah RM95,284.57 dan sebuah kenderaan.

Idris berkata dadah berkenaan dipercayai diseludup masuk dari negara jiran ke daerah ini melalui jalan laut dan siasatan masih dijalankan sama ada dadah itu untuk pasaran tempatan atau Tawau hanya dijadikan lokasi transit dadah. 

“Pihak polis juga menyiasat dan akan menjejaki saki-baki kumpulan berkait rapat kes ini, jika ada, polis Sabah juga meminta bantuan daripada ibu pejabat (Bukit Aman) untuk maklumat berkaitan sindiket dadah yang dibawa masuk dari luar,”  katanya.

Beliau berkata suspek kini direman selama tujuh hari hingga 15 Sept dan kes disiasat mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah. 

Sementara itu, Idris berkata Polis Sabah menahan 5,174 individu atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya dan daripada jumlah itu sebanyak 550 orang adalah pengedar dadah yang disiasat di bawah Seksyen 39B, seksyen 39A(2) serta Seksyen 39A(1).

Beliau berharap agar orang ramai terus memberikan kerjasama menjadi mata dan telinga dengan menyalurkan maklumat bagi membanteras jenayah dadah di kawasan masing-masing. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *