Shahelmey Dilantik Pengarah Operasi Program Imunisasi Sabah

Shahelmey Yahya

KOTA KINABALU : Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Shahelmey Yahya dilantik sebagai Pengarah Program Imunisasi Sabah bagi merancang dan melaksanakan pemberian vaksin dalam kadar lebih pantas serta efisien di negeri itu.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun berkata Shahelmey akan berperanan membantu Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mencapai sasaran peratusan penduduk lengkap divaksin seperti ditetapkan.

Masidi berkata Shahelmey yang juga Exco Kesihatan Sabah akan mengawasi dan melakukan penyelarasan dengan Kementerian Kesihatan berkaitan kemudahan dan keperluan mendadak di hospital-hospital di negeri itu yang diperlukan dari semasa ke semasa.

“Beliau juga akan mengeluarkan kenyataan akhbar dari semasa ke semasa atau bila-bila diperlukan bagi memaklumkan perkembangan terbaru Program Imunisasi Negeri Sabah serta maklumat-maklumat lain yang perlu diketahui orang ramai,” katanya dalam kenyataan di sini.

Sementara itu, Masidi yang juga jurucakap COVID-19 Sabah berkata sebanyak 1,844 kes positif baharu direkodkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif meningkat kepada 161,265 kes.

Masidi berkata jumlah itu menunjukkan penurunan sebanyak 292 kes berbanding 2,136 kes direkodkan semalam, dengan dua kluster baharu melibatkan penularan jangkitan di tempat kerja dilaporkan iaitu Kluster Sawit Simpang Batu 38, Nabawan; dan Kluster Bawah Bayu di Tuaran.

Beliau berkata seramai 3,506 pesakit COVID-19 di Sabah sembuh dan dibenarkan keluar hospital sekali gus menyaksikan jumlah kumulatif 130,818 pesakit sembuh di negeri itu, manakala seramai 4,866 pesakit masih menerima rawatan.

Katanya 31 kematian dilaporkan hari ini di 15 daerah iaitu Kota Kinabalu (lapan); Sandakan (enam); Kota Marudu (tiga); dua di Tawau dan Penampang; manakala masing-masing seorang di Semporna, Tuaran, Kalabakan, Beluran, Keningau, Kinabatangan, Telupid, Putatan, Papar dan Kunak.

Masidi berkata berdasarkan statistik Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Sabah, sebanyak 45.49 peratus penduduk dewasa di negeri itu telah melengkapkan dua dos vaksin dan 63.98 peratus pula memperoleh satu dos. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *