Lelaki Maut Akibat Covid-19 Belum Dapat Imuniti Penuh Vaksin

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Lelaki dari Pulau Mantanani, Kota Belud yang dilapor meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19 kelmarin, dipercayai belum mendapat imuniti penuh walaupun sudah menerima vaksin.

Lelaki berumur 56 tahun itu adalah antara 650 penduduk Pulau Mantanani yang tersenarai antara penerima awal vaksin dos tunggal CanSino di Sabah ketika program jangkauan luar vaksinasi di pulau itu pada 27 Ogos lalu.

Dr Rose Nani Mudin

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Dr Rose Nani Mudin berkata, individu yang baru menerima vaksin memerlukan tempoh sekurang-kurangnya 14 hari sehingga tubuhnya membentuk imuniti bagi melawan jangkitan Covid-19.

Beliau berkata, tubuh pesakit terbabit mungkin belum membentuk imuniti penuh untuk melawan jangkitan Covid-19 memandangkan baru kira-kira seminggu menerima vaksin dos tunggal CanSino.

“Bagi individu membentuk paras antibodi yang boleh mencegah jangkitan Covid-19, ia perlu mengambil masa sekurang-kurangnya 14 hari.

“JKNS menasihatkan orang ramai yang sudah menerima vaksin Covid-19 agar terus kekal memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan sosial, sentiasa membasuh tangan, elakkan kawasan tertutup dan sesak dengan orang ramai bagi melindungi diri daripada jangkitan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu menyusul selepas seorang lelaki dari Pulau Mantanani, Kota Belud yang baru menerima suntikan vaksin CanSino pada akhir bulan lalu dilaporkan meninggal dunia kelmarin.

Dr Rose Nani berkata, pesakit terbabit dibawa ahli keluarga ke Hospital Kota Belud pada 5 September lalu selepas mengadu sesak nafas sehari sebelum itu.

“Pesakit pada ketika itu hampir tidak sedarkan diri dan menunjukkan kadar pernafasan yang laju.

“Menurut ahli keluarga, pesakit mula mengadu sesak nafas sehari sebelum datang ke Hospital Kota Belud dan mengalami batuk yang berterusan.

“Beliau juga tidak mempunyai sejarah bertemu dengan pesakit positif Covid-19, namun keputusan ujian Rapid Test Kit (RTK) Antigen (Ag) Covid-19 menunjukkan positif.

“Keadaan pesakit semakin teruk sehingga terpaksa diberi bantuan pernafasan menggunakan ventilator. Walaupun diberi rawatan kecemasan, kes tidak menunjukkan tanda pulih dan disahkan meninggal dunia akibat kegagalan pelbagai organ,” katanya.

Katanya, pesakit terbabit yang mempunyai sejarah penyakit hipertensi dan hyperlipidaemia menerima vaksin CanSino pada 27 Ogos lalu dan dipercayai mendapat jangkitan Covid-19 seminggu selepas divaksinasi. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *