Sabah Benarkan Aktiviti Selam Skuba & Renang

Aktiviti menyelam kini dibenarkan di Sabah mengikut prosedur operasi standard SOP yang telah ditetapkan- Gambar Google

KOTA KINABALU: Sabah mula membenarkan aktiviti sukan rekreasi air seperti renang, snorkeling, selam skuba, kayak dan sea walking bermula hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, kelonggaran ini diberikan kepada individu yang sudah menerima vaksin lengkap dan perlu mematuhi penjarakan fizikal sekurang-kurangkan dua hingga tiga meter.

Selain itu, pergerakan individu dari rumah yang sama dan golongan dewasa yang telah melengkapkan dua dos vaksin dibenarkan keluar mengikut jumlah kapasiti kenderaan.

Kebenaran bagi pengusaha restoran untuk meletakkan meja di ruang legar atau kaki lima restoran yang berkuat kuasa sejak 2 September hanya untuk pengusaha yang sudah menyewa tapak berkenaan dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) semasa.

Kelonggaran berkenaan antara perubahan dalam SOP baharu bagi negeri Sabah.

Semalam Sabah mencatatkan sebanyak 2,404 kes positif Covid-19 dengan 35 kematian.

Daerah Kota Kinabalu kekal mencatatkan kes tertinggi dengan 387 kes diikuti dengan Sandakan 256 kes, Tuaran 232 kes, Penampang 173 kes dan Papar 167 kes.

Daripada 2,404 kes yang dilaporkan, sebanyak 40.9 peratus adalah kes positif yang lewat didaftar antara dua hingga tiga hari, 127 kes merupakan keputusan saringan yang didaftar lewat antara empat hingga lima hari dan 261  kes adalah yang didaftar lewat melebihi lima hari selepas keputusan ujian diketahui.

Saringan kontak rapat menjadi penyumbang utama keseluruhan kes hari ini dengan 1,393 kes atau 57.9 peratus, saringan bergejala sebanyak 755 kes dan 65 kes daripada saringan kluster. Daripada jumlah itu, 2,174 kes daripada adalah warga Malaysia dan 230 kes adalah bukan warganegara.

Sehingga kini, jumlah kumulatif kes Covid-19 di Sabah sebanyak 155,006 kes manakala, bilangan keseluruhan kes sembuh seramai 122,428 orang.

Setakat 2 September, 41.5 peratus penduduk dewasa Sabah telah melengkapkan pengambilan vaksin dan 60.5 peratus memperoleh sekurang-kurangnya satu dos.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *