Identiti Mangsa Dalam Kereta Myvi Hanyut Dikenal Pasti

Pasukan mencari dan menyelamat melakukan operasi di Sungai Dambai, Inanam, Kota Kinabalu pada Sabtu.

KOTA KINABALU : Identiti kedua-dua mangsa yang berada di dalam kenderaan jenis Perodua Myvi yang dihanyutkan arus deras pada petang Jumaat ketika melintas jambatan di Jalan Kionsom Lama sudah dikenal pasti.

Pemandu kenderaan dikenali sebagai Simon Sanga Tupe, 68, manakala penumpang dikenali sebagai Juning berusia 30 tahun.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata, usaha mencari dan menyelamat mangsa masih dilakukan ketika ini dan kenderaan mangsa ditemui di kawasan Sungai Dambai, Inanam jam 7.20 pagi Sabtu.

Tangkap layar daripada video tular.

“Pada 6.15 pagi, enam penduduk setempat melakukan operasi pencarian dan selepas hampir sejam berjaya menemui kenderaan mangsa kira-kira 200 meter dari jambatan Kampung Dambai.

“Ketika pasukan bomba melakukan penyelaman, dipercayai terdapat mangsa di dalamnya apabila mereka dapat memegang bahagian bahu dan kepala mangsa,” katanya kepada pemberita pada Sabtu.

Bagaimanapun, Agustavia berkata, mangsa belum dapat dikeluarkan dan usaha untuk melakukan operasi itu sedang dilakukan.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan sebuah kenderaan didapati melintas sebuah jambatan yang dinaiki air namun hanyut selepas dibawa arus deras. – SINAR

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *