26,000 Dos Vaksin CanSino Untuk Penduduk Pulau Di Semporna

Foto BERNAMA

SEMPORNA : Sebanyak 26,000 dos vaksin CanSino daripada 180,000 dos yang diterima Sabah setakat ini, disediakan untuk penduduk di pulau-pulau di Semporna, kata Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Dr Rose Nani Mudin.

Beliau berkata sebagai permulaan program imunisasi melibatkan vaksin dos tunggal CanSino itu di Semporna diadakan selama dua hari bermula hari ini di Pulau Mabul, dengan sasaran vaksinasi kepada 2,000 penduduk dan akan ditambah dari semasa ke semasa mengikut keperluan.

“Kita guna CanSino ini di kawasan yang sukar diakses dan selaras dengan kekangan yang dihadapi iaitu kekurangan petugas kesihatan selain dapat menjimatkan masa,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di Pulau Mabul di sini hari ini.

Sementara itu, Pegawai Kesihatan Daerah Semporna Dr Shameer Khan Sulaiman berkata pihaknya menyasarkan pemberian vaksin CanSino kepada 40,000 hingga 50,000 penduduk di pulau-pulau di sini.

“Sasaran permulaan seramai 20,000 penduduk di pulau menerima vaksin CanSino dalam tempoh sebulan ini,” katanya sambil menambah sehingga kini hampir 60,000 daripada 120,000 penduduk daerah ini telah divaksin.

Selepas Pulau Mabul, katanya program imunisasi itu akan dilaksanakan di Pulau Larapan dan Pulau Denawan serta 23 pulau lain di Semporna dengan bantuan pelbagai pihak termasuk pejabat daerah, pasukan keselamatan serta sukarelawan.

Sementara itu, Penasihat PICK Tan Sri Dr Jemilah Mahmood ketika ditemui pada program itu mahu pelaksanaan suntikan vaksin COVID-19 kepada penduduk Sabah dapat dipertingkatkan dengan kerjasama agensi kerajaan dan swasta serta badan bukan kerajaan termasuk hal logistik.

Dr Jemilah turut memuji pelaksanaan program imunisasi di Pulau Mabul itu yang teratur dengan peredaran udara baik dan mendapat sambutan penduduk setempat ke pusat pemberian vaksin (PPV) di sebuah resort pelancongan di pulau itu.

Bagi Nuridja Angga, 55, dia sudah lama tidak ke pekan Semporna kerana risau mendapat jangkitan COVID-19 namun berbuat demikian hari ini demi mendapatkan vaksin.

“Takut dengan penyakit ini tetap ada tapi ketua kampung cakap risiko sakit teruk itu berkurangan selepas terima vaksin, jadi saya ambil,” katanya.

Maimuna Jumadil, 79, bersyukur diberikan suntikan vaksin CanSino yang hanya memerlukan satu suntikan setelah diberitahu mengenai pemberian vaksin itu oleh ketua kampung dan mahu mengambil vaksin itu demi menjaga kesihatannya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *