Sabah Dalam Keadaan Kritikal, Kata Bekas Menteri

Darell Leiking mahu kerajaan Sabah memperuntukkan dana kecemasan untuk membeli vaksin dan peralatan perubatan.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah mesti memperuntukkan dana kecemasan bagi menangani kes Covid-19 di negeri itu yang semakin meruncing, kata Timbalan Presiden Warisan Darell Leiking.

Susulan laporan media mengenai kekurangan vaksin dan peralatan perubatan termasuk katil pesakit, Ahli Parlimen Penampang itu berkata Sabah mesti mengakui negeri itu dalam “keadaan perubatan serius dan kritikal.”

“Ia mesti membentangkan peruntukan kecemasan bagi menampung kekurangan kerajaan persekutuan untuk Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, ramai rakyat Sabah dan pakar perubatan telah berulang kali memberi amaran, cadangan dan idea kepada kerajaan negeri serta persekutuan mengenai cara mengekang dan meredakan wabak di negeri itu.

“Bagaimanapun, nampaknya kedua-duanya tidak mengendahkan idea serta cadangan ini.”

Beliau mendakwa, kini ada desas-desus mengenai “peraturan tetap” dikeluarkan kepada doktor dan jururawat di Hospital Queen Elizabeth (QEH) supaya memberi keutamaan kepada pesakit muda berbanding yang tua disebabkan kekurangan katil dan peralatan di unit rawatan rapi (ICU).

Beliau menekankan bahawa doktor, jururawat atau kakitangan perubatan lain tidak patut dipertanggungjawabkan untuk memaklumkan keluarga bahawa pihak hospital tidak dapat menerima anggota keluarga yang dijangkiti disebabkan arahan berkenaan.

Sebaliknya, beliau berkata, kerajaan negeri – yang didakwanya “tidak pernah berani untuk bertegas dengan Putrajaya supaya Sabah diberi keutamaan” – sepatutnya perlu menjawabnya.

Susulan itu, Leiking menggariskan senarai apa dianggapnya perlu dilakukan kerajaan negeri. Antara yang utama adalah memperuntukkan dana bagi pembelian tangki oksigen, alat bantuan pernafasan dan peralatan perubatan perlu untuk merawat semua rakyat Sabah tanpa mengira usia.

Tambahnya, ini perlu dilakukan serentak dengan mendesak lebih banyak bantuan daripada Putrajaya.

“Kerajaan negeri juga mesti mula menggunakan kepakaran dan kemudahan klinik swasta di Sabah, malah juga dari luar negeri ini.

“Ia juga mesti mendapatkan bantuan pakar perubatan tentera untuk menggabungkan pendekatan strategi dalam mengatasi wabak di Sabah,” katanya.

Selain itu, Leiking berkata kerajaan negeri mesti berurusan secara langsung dengan pengeluar vaksin untuk mendapatkan dos tambahan, memperoleh lebih banyak vaksin satu dos, malah memmpertimbangkan untuk meminjam vaksin daripada Selangor. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *