Aktiviti Rekreasi Kembali Aktif Di Labuan

Pelepasan Program Kayuhan Santai Merdeka 2021 anjuran Pusat Koreksional Labuan (PKL) sempena sambutan Hari Kebangsaan.

LABUAN: Penduduk Labuan kembali menjalani rutin kehidupan lebih bebas termasuk mengadakan aktiviti rekreasi berkumpulan selepas beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Seiring dengan itu, Pusat Koreksional Labuan (PKL), baru-baru ini menganjurkan program berbasikal Kayuhan Santai Merdeka PKL 2021 sempena sambutan Hari Kebangsaan.

Program itu disertai 30 kakitangan pusat berkenaan sebagai sebahagian program sambutan Hari Kebangsaan, selain mengaktifkan semula aktiviti rekreasi untuk kesihatan penduduk di pulau bebas cukai itu.

Sementara itu, Pengarah PKL, Penolong Komisioner Penjara (PKP), Kalbin Mohd Said, berkata aktiviti rekreasi seperti berbasikal juga penting untuk mengekalkan tahap kecergasan pegawai dan anggota pusat berkenaan.

“Kita berharap menerusi Program Kayuhan Santai Merdeka 2021 ini akan menjalinkan hubungan yang lebih baik dan erat dalam kalangan warga PKL, termasuk ahli keluarga mereka,” katanya.

Labuan kini sudah mencapai imuniti kelompok dengan 94.5 peratus daripada penduduk dewasanya sudah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19 setakat ini.

Kes baharu COVID-19 di pulau itu juga menurun secara drastik kepada satu angka berbanding tiga angka pada Mei hingga Julai lalu dengan sebanyak lima kes baharu dicatatkan semalam.

Labuan beralih ke Fasa Empat PPN sejak 26 Ogos lalu sekali gus membolehkan lebih banyak sektor ekonomi dan aktiviti penduduk dibenarkan beroperasi.- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *