4 Pemburu Ditahan, 3 Bakakuk Dirampas

Empat lelaki yang ditahan selepas disyaki berburu haiwan secara haram di Hutan Simpan Sipitang Ulu Tomani, Tenom. -Foto PGA

TENOM: Empat lelaki yang dipercayai memburu secara haram di Hutan Simpan Sipitang Ulu Tomani, di sini, ditahan anggota Batalion 14, Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sabah, semalam.

Mereka berusia antara 18 hingga 22 tahun itu ditahan jam 11 malam dalam Op Bersepadu Khazanah (OBK) yang turut disertai pegawai Jabatan Perhutanan Sabah, Jabatan Hidupan Liar dan Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF).

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail, berkata pasukan operasi turut merampas tiga laras senapang buatan sendiri jenis bakakuk bersama 17 butir peluru.

Semua suspek dikesan menaiki motosikal dipercayai dalam perjalanan menuju ke hutan simpan berkenaan.

“Siasatan awal mendapati semua suspek yang ditahan adalah warga tempatan yang berasal dari perkampungan berhampiran.

“Mereka dipercayai masuk ke hutan simpan untuk berburu,” katanya dihubungi, hari ini.

Mohd Abduh berkata, keempat-empat suspek bersama barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tenom untuk tindakan selanjutnya.

Semua rampasan termasuk empat motosikal dianggarkan bernilai keseluruhan sebanyak RM20,970.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM 10,000 atau kedua-duanya,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *