95% Penjawat Awam Sabah Telah Divaksin

KOTA KINABALU, 30 Ogos : Sebanyak 95 peratus atau 19,104 orang daripada 20,109 orang penjawat awam di Sabah telah menerima suntikan vaksin COVID-19, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Masidi Manjun.

Jurucakap COVID-19 Sabah itu berkata baki lima peratus merupakan kumpulan yang menunggu giliran dan tidak boleh divaksin atas masalah kesihatan.

“Bagi rakyat Sabah seramai 16,035 orang telah menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 hari ini menjadikan jumlah kumulatif 1.52 juta orang. Bagi dos kedua seramai 23,152 menerima suntikan hari ini menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 993,163 orang,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata jumlah kes harian COVID-19 di Sabah terus menurun tetapi masih berada di tahap yang tinggi iaitu 2,310 kes berbanding 2,578 kes yang dicatatkan semalam.

“Daripada 2,310 kes hari ini, saringan kontak rapat kekal penyumbang utama dengan 1,342 kes atau 58.10 peratus, saringan bergejala (680) kes atau 29.4 peratus dan selebihnya adalah daripada saringan kluster sedia ada.

“Seramai 2,016 kes baharu melibatkan warganegara Malaysia dan 294 kes adalah bukan warganegara,” tambahnya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *