Jenazah Lajim Ukin Selamat Dikebumikan Di Beaufort

Isteri kepada Allahyarham Lajim, Normila Siong menyiram air mawar di atas pusara Lajim di Taman Perkuburan Orang-Orang Islam Kampung Kebatu/Kampung Kabidang di Beaufort.

KOTA KINABALU: Jenazah ahli politik veteran, yang juga ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Lajim Ukin selamat dikebumikan di Taman Perkuburan Orang-Orang Islam Kampung Kebatu/Kampung Kabidang di Beaufort, tengah hari tadi.

Allahyarham selesai dikebumikan kira-kira 1.50 tengah hari dengan disaksikan isterinya, Normila Siong, anak-anaknya, ahli keluarga lain serta beberapa pemimpin politik Sabah, termasuk ADUN Klias Isnin Aliasnih dan ADUN Lumadan Ruslan Muharam.

Terdahulu, Lajim, 66, meninggal dunia kira-kira 6.23 pagi tadi di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu.

Lajim disahkan positif Covid-19 sejak 12 Ogos lalu dan dimasukkan ke hospital swasta pada hari berikutnya. Namun, keadaan kesihatannya merosot dan beliau ditidurkan bermula Selasa lalu.

Sementara itu, pemimpin-pemimpin Sabah mengucapkan takziah kepada keluarga Lajim.

Ketua Menteri Hajiji Noor berkata, Lajim adalah seorang pemimpin yang sangat berjasa dan sering menyumbangkan masanya serta berkongsi nasihat yang baik kepada parti.

”Bagi pihak keluarga saya dan kerajaan negeri, saya mengucapkan takziah kepada Normila Siong atas kehilangan dan keluarga Allahyarham Lajim yang tersayang.

”Lajim adalah pemimpin yang berdedikasi dan juga kawan yang baik serta telah banyak menyumbang kepada negeri dan negara sepanjang karier politiknya,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, timbalan ketua menteri, yang juga Pengerusi Umno Sabah, Bung Moktar Radin berkata, pemergian Lajim adalah satu kehilangan besar buat rakyat Sabah, khususnya penduduk di Beaufort.

”Allahyarham merupakan sahabat rapat saya yang pernah bersama dalam kepimpinan persatuan dan parti Umno sebagai ahli majlis tertinggi.

”Saya kehilangan seorang sahabat yang baik, saya bersama keluarga dan kepimpinan Umno Sabah merakamkan ucapan takziah kepada (isterinya) Normilah Siong serta seluruh ahli keluarga Allahyarham,” katanya.

Antara pemimpin lain yang mengucapkan takziah kepada keluarga Lajim adalah Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah Christina Liew dan Presiden Warisan Shafie Apdal.

”Bagi pihak PH dan PKR Sabah, kami mengucapkan salam takziah kepada Normilah Siong dan seluruh keluarganya atas kehilangan suami tercinta (Lajim) yang meninggal dunia hari ini.

”Semoga beliau dan anak-anak tabah menghadapi saat duka atas kehilangan ini dan kami mendoakan agar Allahyarham ditempatkan dalam golongan orang yang beriman dan beramal soleh,” kata Christina.

Dalam pada itu, Shafie dalam satu hantaran ringkas di Facebook berkata, ”Didoakan semoga seluruh ahli keluarga Allahyarham tabah dan redha dengan dugaan ini.” – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *