Sabah Yakin Kabinet Baharu Mampu Tangani Krisis Covid-19

Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Mohd Noor. – Foto Facebook Hajiji Haji Noor

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah meletakkan keyakinan terhadap kemampuan barisan Kabinet baharu Kerajaan Persekutuan dalam menangani cabaran ekonomi negara akibat pandemik COVID-19.

Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor turut menyifatkan Kabinet diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu sebagai sebuah pasukan berorientasikan tindakan yang mampu melaksanakan tugas dengan berkesan.

“Rakyat meletakkan jangkaan yang tinggi kepada mereka (barisan Kabinet) dan berharap dengan pasukan baharu ini, kita kini dapat menumpukan usaha pemulihan ekonomi dan mengatasi pandemik COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Dalam pengumumannya semalam, Ismail Sabri menamakan dua menteri dan empat timbalan menteri dari Sabah menyertai Kabinetnya.

Dua menteri terbabit ialah Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang memegang semula portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) dan Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dilantik semula sebagai Menteri Pertanian dan Industri Makanan.

Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata pelantikan semula Maximus dan Ronald membolehkan mereka meneruskan apa yang sudah dirancang sebelum ini.

“Kerajaan negeri akan bekerja rapat dengan Maximus untuk menyuarakan semua perkara berkaitan hak negeri seperti termaktub dalam dokumen sebelum kemerdekaan seperti Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Portfolio Ronald pula penting dalam membantu kerajaan negeri mencapai pelan pembangunan Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menggariskan sektor pertanian sebagai komponen utama,” katanya.

Sementara itu, katanya beliau juga yakin dua muka baharu timbalan menteri dari Sabah, iaitu Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa dan Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin mampu menggalas tugas yang diamanahkan dengan baik.

Selain mereka, dua lagi timbalan menteri dari Sabah dilantik menganggotai Kabinet baharu Kerajaan Persekutuan ialah Timbalan Menteri Dalam Negeri, Jonathan Yasin dan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Joseph Kurup. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *