PGA Tahan Empat Nelayan Di Kuala Penyu

Empat nelayan yang ditahan kerana menangkap ikan menggunakan kaedah bahan letupan.

BEAUFORT: Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan empat nelayan yang dipercayai menangkap hasil laut menggunakan kaedah bom ikan dalam Op Bersepadu Khazanah (OBK) di perairan Pulau Tiga, Kuala Penyu, di sini, kelmarin.

Dalam operasi pada jam 11.20 pagi dijalankan bersama pasukan Taman Taman Sabah (TTS) itu, beberapa peralatan dipercayai untuk kegunaan membuat bom ikan turut dirampas.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, kegiatan empat nelayan itu dikesan ketika pasukannya menjalankan rondaan di perairan berkenaan yang dikategorikan sebagai kawasan larangan.

Katanya, sebaik mengesan dua bot nelayan yang sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan, pasukan operasi terus cuba menghampiri mereka untuk pemeriksaan.

“Selepas diarahkan berhenti, kedua-dua bot berkenaan cuba melarikan diri dengan bertindak memecut ke arah perairan Papar.

“Bagaimanapun, pasukan operasi berjaya memintas kedua-dua bot yang dinaiki empat suspek sebelum penggeledahan dilakukan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Abduh berkata, hasil pemeriksaan lanjut menemui beberapa peralatan yang digunakan untuk aktiviti pengeboman ikan bersama pelbagai hasil laut.

Katanya, empat suspek berusia lingkungan 30 hingga 50 tahun ditahan dan peralatan yang dirampas juga dianggarkan bernilai RM26,130 termasuk bot serta hasil laut.

“Semua suspek dan barang rampasan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort untuk tindakan selanjutnya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8, Akta Bahan Letupan 1957,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *