Saringan Tertunggak Punca Peningkatan Kes Covid-19 Di Sabah

Masidi Manjun

KOTA KINABALU: Peningkatan kes positif Covid-19 di Sabah masih disumbangkan oleh saringan kes tertunggak yang memperoleh keputusan melebihi lima hari.

Hari ini, daripada 3,224 kes positif yang dilaporkan, sebanyak 2,022 kes positif merupakan kes tertunggak yang memperoleh keputusan saringan daftar lewat antara dua hingga lebih lima hari.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, sebanyak 315 kes hari ini daripada kes daftar lewat melebihi lima hari manakala, 322 kes daripada keputusan saringan yang didaftar lewat antara empat hingga lima hari dan 1,385 kes pula adalah kes daftar lewat antara dua hingga tiga hari.

Sebelum ini, beliau memaklumkan bukan semua kes yang dilaporkan di Sabah berlaku dalam tempoh 24 jam yang lalu.

Sejak 19 Ogos lalu, Sabah mula melaporkan kes-kes positif yang daftar lewat melebihi lima hari setelah keputusan saringan diketahui.

Masidi berkata, kes yang tinggi hari ini dikesan melalui saringan kontak rapat iaitu sebanyak 2,098 kes atau 65 peratus dikesan melalui saringan kontak rapat.

“Seramai 2,878 orang pesakit hari ini adalah warganegara dan 346 orang lagi bukan warganegara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Dr. Rose Nani Mudin menyatakan saringan tertunggak yang berlaku di Sabah ketika ini berikutan pengesanan individu bergejala dan kontak rapat yang sedang dijalankan.

Pada masa ini, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) sedang berusaha mengurangkan saringan tertunggak dengan mendapatkan bantuan sumber luar di makmal swasta dan meningkatkan bilangan kakitangan menjalankan ujian di Makmal Kesihatan Awam.- Utusan Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *