‘Walk-In’ Vaksinasi, Perkarangan SICC Dibanjiri Orang Ramai

Gambar yang tular di Facebook hari ini.

KOTA KINABALU: Kebenaran vaksinasi secara walk-in di semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) membawa kepada beberapa kesesakan yang luar biasa dilihat di PPV di negeri ini.

Hari ini tular gambar orang ramai beratur panjang untuk mengambil vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).

Menerusi gambar dan video tular dalam media sosial, pekarangan laluan utama SICC dibanjiri dengan orang ramai yang cuba untuk walk-in bagi mengambil vaksin tanpa mempedulikan penjarakan fizikal.

Bagaimanapun, difahamkan kehadiran dua lori polis kira-kira 10 pagi tadi berjaya meredakan keadaan dan orang ramai mula bersurai dari PPV berkenaan.

Sebelum ini, Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Junz Wong mengatakan keputusan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) membenarkan vaksinasi secara walk-in akan mengundang malapetaka dan risiko jangkitan Covid-19.

Katanya, kebenaran walk-in boleh mendatangkan risiko serta mengundang malapetaka jika tiada kawalan dilakukan di PPV.

Beliau turut mempersoalkan sama ada keputusan kebenaran vaksin secara walk-in itu sudah mendapatkan nasihat doktor dan petugas barisan hadapan.

Menurutnya, GRS sepatutnya berfikir apa yang akan berlaku jika beribu-ribu orang datang secara walk-in dan salah seorang daripada mereka positif Covid-19.

Beliau mencadangkan PPV yang boleh walk-in dengan PPV yang tidak boleh walk-in diasingkan untuk memudahkan urusan semua pihak termasuk petugas kesihatan.

“Saya rasa idea walk-in ini adalah baik, tapi ia perlu dilaksana secara teratur dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat untuk mengelakkan malapetaka berlaku jika ribuan orang bersesak-sesak di satu tempat,” jelasnya. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *