Remaja Hilang Dikhuatiri Lemas Ketika Mandi Di Sungai Kampung Sekudung

TUARAN: Seorang remaja lelaki dikhuatiri lemas selepas hilang ketika mandi bersama tiga rakan, dalam kejadian di Sungai Kampung Sekudung, Serusup, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, sebaik menyedari kehilangan mangsa yang berusia 15 tahun terbabit, tiga rakannya terus menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk bantuan kecemasan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Abdul Qawie Abdul Gapar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.21 petang.

Katanya, sepasukan 10 anggota dan pegawai dikerah ke lokasi kejadian bersama sebuah jentera, van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dan bot penyelamat.

“Mangsa dikenali sebagai Mohamad Amar Qayyum Rasmi dan berasal dari Kampung Bolong Lama, di sini.

“Pasukan operasi pada awalnya menjalankan pencarian menggunakan kaedah permukaan sejauh lingkungan 100 meter dari kawasan mangsa dilaporkan hilang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Abdul Qawie berkata, operasi terpaksa ditangguhkan pada jam 6.18 petang, semalam, selepas keadaan cuaca semakin gelap selain tiada sebarang petunjuk yang membawa kepada penemuan mangsa.

Katanya, operasi pencarian hari kedua diteruskan hari ini membabitkan Pasukan Penyelam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah.

Katanya, seramai lima penyelam memulakan operasi pencarian bermula jam 7.05 pagi tadi. – Asiatimes

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *