Tiada Tindakan Buat Masa Ini Walaupun SOP Dikuatkuasakan – Masidi

Masidi Manjun

KOTA KINABALU: Jurucakap Covid-19 Sabah Masidi Manjun berkata pihak berkuasa masih akan berlembut dengan peniaga buat masa ini dan tidak mengenakan hukuman sekiranya mereka tidak mematuhi SOP terkini berkaitan pekerja serta pelanggan yang divaksin lengkap.

Menurut SOP, pekerja dan pelanggan mesti divaksin penuh sebelum duduk makan di restoran atau membeli-belah di pasar raya besar.

Mengulas aduan kumpulan perniagaan bahawa SOP itu tidak adil, Masidi berkata penguatkuasaan awal lebih kepada peringatan mengenai perlunya vaksinasi.

Katanya, kerajaan sedar ramai dalam sektor perniagaan yang belum divaksin, dan menggesa orang ramai menerima suntikan di pusat pemberian vaksin (PPV) berdekatan yang kini menerima ‘walk-in.’

“Kami menjangkakan semua orang dalam kategori perniagaan itu divaksin dalam tempoh sebulan memandangkan vaksin kini sudah ada,” katanya kepada FMT.

Pengendali kedai makan serta Persatuan Majikan Sabah terdahulu hari ini mempertikaikan SOP terbaru yang diumumkan malam tadi kerana dianggap tidak adil memandangkan kadar vaksinasi rendah di negeri itu.

Antaranya, pengendali kedai makan hanya boleh membenarkan kemasukan pekerja dan pelanggan yang divaksin lengkap dengan status risiko rendah di MySejahtera.

Pasar raya dan pasar raya besar juga hanya boleh membenarkan pelanggan dan pekerja yang divaksin lengkap.

Bagaimanapun, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah menegaskan peraturan itu tetap akan dilaksanakan.

“Ia demi kesihatan mereka sendiri dan pelanggan.

“Kadar jangkitan Covid-19 yang tinggi kini patut menjadi sebab kukuh untuk mementingkan faktor keselamatan kesihatan.

“Ramai orang mengkritik kami kerana membenarkan ‘dine-in’ dalam keadaan ini. Ramai mahu ‘dine-in’ ditangguhkan.

“Sekarang, kami telah memperkenalkan peraturan untuk memastikan keadaan lebih selamat bagi pelanggan dan pengendali, namun tetap dikritik,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *