Wanita Rugi RM6,050 Ditipu Ejen Pelancongan

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Hasrat seorang wanita bekerja di luar negara tidak kesampaian apabila ditipu seorang ejen yang dikenali menerusi atas talian.

Akibat daripada kejadian itu, mangsa kerugian lebih RM6,000 selepas terpedaya dengan ejen pelancongan yang kononnya boleh membantu mendapatkan pekerjaan di luar negara.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Sabah, Superintendan G Moses Govindarajoo berkata, mangsa berusia 50 tahun mendakwa berurusan dengan seorang lelaki yang menggunakan nama orang tempatan.

Katanya, mangsa membuat dua pemindahan wang iaitu sebanyak RM2,800 serta RM3,250 pada 8 Julai dan 26 Julai lalu.

“Mangsa mendakwa membuat transaksi wang ke dua akaun yang berbeza berjumlah keseluruhan RM6,050.

“Ia bertujuan untuk menguruskan visa dan tiket penerbangan ke Australia,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

G Moses berkata, mangsa bagaimanapun, hanya menyedari tertipu selepas membuat semakan dengan pihak syarikat Penerbangan Malaysia (MAS).

Katanya, pemeriksaan mendapati tiket yang dihantar oleh suspek adalah palsu.

“Mangsa membuat laporan polis di Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu,” katanya.

Sehubungan itu, G Moses menasihati orang ramai supaya sentiasa berhati-hati ketika berurusan dengan orang tidak dikenali secara atas talian. – Asiatimes

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *