4 Tahanan Lari Dari Pusat Kuarantin Covid-19

Empat tahanan berkenaan. – Foto Ihsan Polis

PENAMPANG: Empat tahanan yang positif Covid-19 melarikan diri dari pusat kuarantin pesakit Covid-19, di Institut Latihan Mahkamah Anak Negeri (Ilman), diburu polis.

Tahanan iaitu Salman Arip, 19; Mohd Diyazmir Razif Rudyaz, 20; Mohd Rahman Basir, 24 dan Arippian Abdul, 27, dikesan melarikan diri dari pusat berkenaan, jam 3.30 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, semua tahanan terbabit dipindahkan dari lokap Balai Polis Penampang ke pusat Covid-19 di bangunan Ilman.

Katanya, semua mereka dipindahkan secara berperingkat sejak 24 Julai lalu selepas disahkan positif Covid-19.

“Empat tahanan yang melarikan diri membabitkan tiga warga asing dan seorang warga tempatan berusia lingkungan 19 hingga 27 tahun.

“Semua suspek yang ditahan disiasat atas kesalahan mencuri, mencederakan dan penyalahgunaan dadah,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Haris berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung semua suspek diminta segera menghubungi pihak polis.

Katanya, maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang di talian 088-723961 atau mana-mana balai polis berhampiran. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost