Kedai Roti Punca Kluster Baharu Tempat Kerja Di Tawau

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Kedai roti di Tawau disyaki menjadi punca penularan jangkitan Covid-19 yang mencetuskan kluster berkaitan tempat kerja di daerah itu hari ini.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah Datuk Masidi Manjun berkata, Kluster Batu Dua itu mula dikesan selepas bapa kepada seorang pekerja di kedai itu didapati positif Covid-19 pada 17 Julai lalu.

Menurutnya, kes indeks berusia 58 tahun yang tinggal di Lorong Habib Abdul Rahman, Batu Dua di Tawau itu menjalani saringan bergejala ketika mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta.

“Berikutan itu, saringan kontak rapat dilakukan dan mendapati tiga rakan serumah kes indeks positif termasuk anaknya yang bekerja di kedai roti terbabit.

“Saringan tempat kerja pula mengesan lapan pekerja kedai roti positif Covid-19. Siasatan lanjut untuk pengesanan kontak sedang giat dijalankan dan punca jangkitan masih dalam siasatan.

“Setakat hari ini, daripada 66 kontak yang disaring, sebanyak 27 kes dikesan positif termasuk 10 kes baharu, manakala tiga sampel didapati negatif dan 36 sampel lagi masih menunggu keputusan saringan,” katanya dalam kenyataan satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah berkata, satu lagi kluster Covid-19 dilaporkan di Ranau hari ini berkaitan jangkitan dalam komuniti.

Menurutnya, Kluster Gunsapau itu turut membabitkan kontak sosial di Kampung Tagibang, Kota Marudu dengan kes indeks adalah seorang wanita berusia 24 tahun.

“Kes indeks itu disahkan posiitf Covid-19 pada 21 Julai lalu, diikuti empat lagi kontak positif pada 22 Julai yang dikesan melalui saringan bergejala.

“Turut dikesan positif ialah kontak serumah kes indeks di Kampung Pugi Gunsapau, Nawanon dan Tagibang di Kota Marudu pada 24 dan 27 Julai lalu.

“Dalam tempoh itu, 164 sampel sudah disaring dan mengesan 64 kes positif termasuk enam kes baharu, manakala 100 sampel lagi didapati negatif,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *