Curi Elektrik Guna Teknik ‘Pancing’

Teknik ‘pancing’ untuk mencuri bekalan elektrik. – Foto Ihsan Polis

KOTA KINABALU: Seramai 61 individu termasuk tiga lelaki disyaki dalang kes curi bekalan elektrik ditahan dalam Op Bersepadu di kawasan setinggan Kampung Bawang, Kolombong, di sini, awal pagi tadi.

Operasi yang bermula jam 5 hingga 11 pagi itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Zaidi Abdullah berkata, polis menahan 39 lelaki dan 22 wanita berusia antara 16 hingga 60 tahun.

Katanya, turut dirampas kabel elektrik pelbagai jenis dianggarkan seberat 30 kilogram yang digunakan untuk menyambung serta mencuri arus elektrik.

“Tiga lelaki yang disyaki menjadi dalang kepada penyambungan haram itu turut diberkas dalam operasi berkenaan.

“Ketiga-tiga suspek ini dipercayai mengenakan sejumlah bayaran kepada mereka yang ingin membuat penyambungan baru serta penyambungan semula ketika bekalan elektrik dipotong oleh SESB,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, modus operandi mereka adalah menggunakan teknik ‘pancing’ iaitu dengan cara menggantung cangkuk besi di kabel pencawang utama.

“Pemerhatian di penempatan itu mendapati banyak wayar atau kabel dipasang secara bahaya dipelbagai sudut dan apa yang lebih menggusarkan terdapat wayar dan kabel elektrik yang berada di takungan air.

“Semua tangkapan dan rampasan dibawa ke IPD Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37 Akta Bekalan Elektrik 1990,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost