Anwar Usul Muhyiddin Dilucutkan Jawatan Sebagai Perdana Menteri

Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, tindakan melucutkan jawatan Perdana Menteri perlu dilakukan selepas Ahli-ahli Dewan Rakyat hilang kepercayaan terhadap Muhyiddin. – Gambar BERNAMA

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengusulkan agar Tan Sri Muhyiddin Yassin dilucutkan (makzul) daripada jawatan Perdana Menteri dengan segera.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson mendakwa, tindakan itu perlu dilakukan selepas Ahli-ahli Dewan Rakyat hilang kepercayaan terhadap Muhyiddin.

Usul tersebut dikemukakan di bawah Peraturan Mesyuarat 14(1)(b), 26(1)(d), dan Peraturan Mesyuarat 36 (12) dan Perlembagaan Persekutuan

“Dengan in saya Anwar Ibrahim mewakili Ahli-ahli Dewan Rakyat mengemukakan usul seperti berikut:

“Bahawa Dewan Rakyat ini memgambil ketetapan untuk menyatakan hilang kepercayaan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ahli Parlimen Pagoh dan dimakzulkan daripada jawatan Perdana Menteri dengan segera menurut Perlembagaan Persekutuan.

“Kedua, setelah titah diraja disampaikan sekali pun mereka masih ingkar dan mencari helah padahal kita tahu kita boleh melakukan saringan tanpa mempersulitkan perjalanan Parlimen. Bagi kita, ahli-ahli Dewan Rakyat menganggap Muhyiddin telah makzul, dipecat atau gugur sebagai Perdana Menteri,” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Sidang media Ketua Pembangkang di Pusat Media Bangunan Parlimen | 29 Julai 2021

Menurut Anwar, tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang mengelirukan Parlimen, selain membelakangi fungsi Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Utama negara.

Sebelum itu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan yang telah dibuat di Parlimen pada 26 Julai lalu bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan oleh Baginda sepanjang tempoh Darurat walhal pembatalan belum lagi diperkenan.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan rasa amat dukacita kerana apa yang telah diperkenan dan dititahkan kepada Takiyuddin dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun semasa majlis menghadap secara maya pada 24 Julai bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan telah tidak dilaksanakan.

Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, Istana Negara turut mengesahkan pembatalan semua Ordinan Darurat oleh kerajaan belum mendapat perkenan oleh Yang di-Pertuan Agong. – AWANI

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost