Peter Marah Tidak Dapat Kontrak, Kata Bekas Naib Cancelor UMS

Peter, 50, sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Sdn Bhd didakwa melakukan sesuatu pemalsuan kepada surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014.

KUALA LUMPUR : Bekas Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) hari ini memberitahu Mahkamah Sesyen di sini bahawa beliau telah dimarahi oleh Datuk Peter Anthony kerana syarikat miliknya, Asli Jati Engineering Sdn Bhd tidak memperoleh kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan sistem mekanikal dan ektrikal (M&E) di universiti berkenaan.

Prof Datuk Dr Mohd Harun Abdullah, 60, berkata beliau telah menerangkan kepada Peter selaku Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati bahawa pemberian kontrak akan dilakukan secara tender terbuka dan keputusan itu telah diputuskan dalam mesyuarat Lembaga Pengarah Universiti (LPU).

“Datuk Peter marah kepada saya kerana syarikat beliau tidak dapat kontrak M&E di bangunan Fasa 2B di universiti itu,” katanya ketika membacakan pernyataan saksinya pada hari kesembilan perbicaraan kes bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah itu yang berdepan pertuduhan menggunakan dokumen palsu berhubung kontrak kerja penyelenggaraan sistem berkenaan.

Saksi pendakwaan ke-10 itu turut mengesahkan bahawa kontrak M&E di universiti berkenaan tidak diberikan kepada Asli Jati kerana telah diberikan kepada syarikat REMT Utama Sdn Bhd melalui tender terbuka dan tiada sebarang kerugian dialami pihak UMS atas tindakan itu.

Terdahulu, Mohd Harun berkata beliau terkejut apabila mengetahui tandatangannya telah diturunkan pada satu surat yang mendakwa UMS menyokong penuh permohonan Asli Jati untuk menyelenggara kerja-kerja operasi di UMS selama lima tahun secara rundingan terus.

Surat sokongan itu bertarikh 11 Julai 2014 dengan tajuk “Kerja-kerja operasi dan penyelenggaraan bagi sistem M&E di bangunan Fasa 2B, bangunan dan infra di Kampus Induk (FPL/Pusat Rawatan Warga Luar Sikuati, Kudat) dan bangunan lain UMS – Selama lima tahun secara rundingan terus”.

“Surat itu merupakan surat yang diberikan kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan ketika itu untuk kelulusan. Saya sahkan saya tidak pernah mengeluarkan dan menandatangani surat berkenaan walaupun ia menggunakan nama saya selaku Naib Canselor UMS.

“Saya cam ia adalah tandatangan bekas Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UMS Prof Dr Shariff Abd Kadir Shariff Omang. Saya juga mengesahkan Shariff telah menandatangani surat itu tanpa pengetahuan dan kebenaran saya,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin.

Saksi itu turut menafikan sebarang sokongan dari pihaknya kerana ia bertentangan dengan keputusan Mesyuarat Lembaga Pengarah Universiti yang telah bersidang pada 16 Jan 2014, untuk memberikan kontrak kerja penyelenggaraan M&E UMS secara tender terbuka.

“Saya sahkan rujukan surat itu tidak wujud dan tiada rekod atau didaftarkan dalam fail UMS,” katanya yang sekali lagi terkejut apabila menerima surat kelulusan dari Kementerian Kewangan mengenai permohonan UMS untuk tender kepada Asli Jati berkenaan pada 9 Sept 2014.

Mohd Harun berkata setelah menerima surat kelulusan itu, beliau sendiri telah meminta seorang pegawai undang-undang UMS untuk menghubungi pihak Kementerian Kewangan bagi mendapatkan penjelasan.

Sementara itu, peguam Datuk D. Senthinathan memohon supaya sesi soal balas terhadap keempat-empat saksi pendakwaan dari Sabah termasuk Mohd Harun dikendalikan oleh seorang lagi peguam yang mewakili Peter, Munawar Kabir Mohd Zainal Abidin selepas beliau tamat cuti sakit pada 2 Ogos ini. 

Selain Mohd Harun, saksi pendakwaan yang lain ialah Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UMS Prof Dr Shariff Abd Kadir Shariff Omang, bekas Pengerusi Ulink Property Sdn Bhd, Datuk Abdullah Mohd Said dan kenalan Peter, Mohd Shukur Mohd Din.

Bagaimanapun, Wan Shaharuddin membantah permohonan itu atas alasan ia merupakan percubaan pihak pembelaan untuk melengah-lengahkan perbicaraan. 

“Sejak tertuduh didakwa tahun lepas, ini merupakan kali ketiga kes ditangguhkan atas pelbagai alasan. Sebelum ini, pihak pendakwaan tidak pernah membesarkan isu penangguhan namun untuk kali ini kami terpaksa membantah kerana kes ini melibatkan beberapa saksi warga emas yang perlu membuat perjalanan jauh dari Sabah untuk hadir memberi keterangan dalam prosiding ini,” katanya.

Hakim Azura Alwi menolak permohonan itu dan mengarahkan sesi soal balas diteruskan esok.

Peter, 50, sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Sdn Bhd, didakwa melakukan sesuatu pemalsuan kepada surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 dengan memasukkan pernyataan palsu pada tajuk surat itu dengan niat ia digunakan untuk tujuan menipu di pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada YAB Perdana Menteri, tingkat lima, bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya di antara 13 Jun 2014 dan 21 Ogos 2014.

Dia juga berdepan pertuduhan pilihan iaitu sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Sdn Bhd telah menggunakan suatu dokumen palsu sebagai tulen iaitu surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 yang mempunyai pernyataan palsu pada tajuk surat itu dan beliau mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen itu adalah palsu di tempat dan masa yang sama. 

Peter didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda serta Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *