Lebih Banyak Negeri Dijangka Beralih Fasa 4 PPN Seawal Oktober – PM

Tan  Sri Muhyiddin Yassin membentangkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada sidang khas Dewan Rakyat hari ini. – Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan menjangkakan kebanyakan negeri akan dapat beralih ke Fasa Empat, iaitu fasa terakhir Pelan Pemulihan Negara (PPN) seawal Oktober ini.

Ketika memberi penerangan mengenai PPN pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini, Perdana Menteri berkata, ini berdasarkan usaha berterusan kerajaan untuk menggerakkan proses pemulihan dan program imunisasi yang kini sedang berjalan lancar.

Untuk itu, Perdana Menteri berkata, selain memantau secara rapi keadaan di setiap negeri dari semasa ke semasa dan mengambil langkah intervensi mengikut keperluan, kerajaan juga akan tetap melaksanakan penilaian risiko dari segi kesediaan negeri-negeri untuk beralih ke fasa seterusnya.

“Saya juga ingin jelaskan, kerajaan sudah memutuskan pada Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara, bagi negeri yang sudah berada di fasa kedua, ia tidak akan kembali ke fasa pertama.

“Begitu juga dengan negeri yang beralih ke fasa ketiga, tidak akan patah balik ke fasa kedua.

“Ini kerana, pendekatan PPN menekankan dengan izin, exit strategy and no turning back (strategi keluar dan tidak berpatah balik),” katanya.

PPN yang diumum 15 Jun lalu, menggariskan empat fasa peralihan merangkumi perincian SOP untuk setiap fasa dengan peralihan fasa bagi sesebuah negeri akan dinilai dan dipertimbangkan berdasarkan tiga indikator nilai ambang iaitu purata bilangan kes harian, kadar penggunaan katil di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) dan peratusan rakyat dewasa yang lengkap divaksinasi.

Sejak diumumkan, lapan negeri sudah beralih ke Fasa Dua iaitu Perlis, Perak, Pahang, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

Mengulas lanjut Muhyiddin berkata, sekiranya berlaku semula peningkatan kes di negeri-negeri ini, kerajaan akan mengetatkan kawalan pergerakan berdasarkan lokaliti tanpa perlu membuat perintah kawalan menyeluruh ke atas negeri atau wilayah seperti yang dilaksanakan kini.

“Bagaimanapun, manusia merancang, tetapi perancangan Allah jualah sebaik-baiknya,” katanya.

Menjelas lanjut, Perdana Menteri berkata peralihan fasa ke fasa ini membabitkan pembukaan aktiviti ekonomi dan sosial secara beransur dan ia tidak mengikut jadual masa, sebaliknya berlandaskan pencapaian dalam mengurangkan tekanan kapasiti sistem kesihatan serta meningkatkan tahap perlindungan rakyat menerusi suntikan vaksin. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost