Rekod Baharu Lagi! 17,045 Kes Covid-19, 92 Kematian

Dr Noor Hisham

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan melaporkan 17,045 kes Covid-19 dan 92 kematian, manakala 9,683 pesakit sembuh.

Jumlah jangkitan harian itu mengatasi rekod semalam sebanyak 15,902 kes Covid-19 dan menjadikan kumulatif jangkitan kini melepasi 1 juta kes.

Keseluruhannya, seramai 844,541 daripada 1,013,438 pesakit Covid-19 sudah sembuh, manakala 7,994 orang meninggal dunia akibat jangkitan itu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat 160,903 kes aktif di seluruh negara, dengan 501 daripada 970 pesakit di unit rawatan rapi memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya, Selangor terus mencatatkan jangkitan harian tertinggi, dengan 8,500 kes.

Ini disusuli Kuala Lumpur (2,045), Kedah (1,216), Johor (950), Sabah (818), Perak (609), Pulau Pinang (573), Negeri Sembilan (513), Pahang (424), Sarawak (407), Melaka (370), Terengganu (273), Kelantan (266), Putrajaya (50), Labuan (21) dan Perlis (10).

Daripada jumlah kes baharu itu, enam ialah kes import dan baki 17,039 kes penularan tempatan.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost