Polis Ranau Tahan Lelaki Hisap Dadah Dalam Kenderaan

Suspek ditahan di dalam keretanya. – Gambar Polis Ranau

RANAU: Seorang lelaki ditahan selepas didapati menagih dadah ketika berada di dalam keretanya yang diletakkan ditepi jalan di Kampung Lohan, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 2.30 pagi itu, lelaki terbabit turut ditahan bersama bungkusan plastik yang mengandungi dadah disyaki syabu.

Ketua Polis Daerah Ranau Deputi Superintendan Simiun Lomudin berkata, dadah berkenaan disembunyikan di dalam kotak rokok.

Katanya, suspek terus ditahan dan dibawa ke Balai Polis Ranau bersama barang kes untuk tindakan selanjutnya.

“Suspek dirujuk ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dan ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadapnya didapati positif dadah jenis metaphetamine.

“Suspek terus ditahan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15 (1)(A) akta yang sama,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Simiun berkata, pihaknya memandang serius kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah di daerah berkenaan.

Katanya, polis akan menpergiatkan lagi operasi dari semasa ke semasa bagi membendung gejala penagihan serta pengedaran dadah di daerah Ranau secara agresif.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terbabit dalam aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah.

“Aktiviti jenayah itu membawa kesan sangat buruk kepada diri, keluarga, agama, bangsa dan negara,” katanya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *