Tiada Pergerakan Kenderaan Luar Biasa Di Sabah Menjelang Aidiladha

KOTA KINABALU: Tiada sebarang pergerakan kenderaan secara besar-besaran berlaku di Sabah menjelang perayaan Hari Raya Aidiladha esok.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, berdasarkan pemeriksaan yang dilakukan di sekatan jalan raya di seluruh Sabah mendapati tiada sebarang pergerakan luar biasa yang berlaku sejak Sabtu lalu.

Hazani Ghazali

“Di Sabah, tiada pergerakan besar-besaran berlaku dan sekatan jalan raya (SJR) di setiap daerah masih dijalankan seperti biasa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Bagaimanapun, pemeriksaan di SJR diperketatkan untuk memastikan tiada individu yang cuba merentas sempadan daerah untuk pulang ke kampung meraikan Hari Raya Aidiladha.

Hazani berkata, pasukan pemantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) juga digerakkan ke kawasan tumpuan orang awam bagi mengelakkan berlaku perhimpunan orang ramai ketika perayaan Aidiladha.

Justeru itu, orang ramai dinasihatkan untuk tidak cuba merentas daerah dan berkumpul beramai-ramai meraikan sambutan Aidiladha bagi mengelakkan tindakan undang-undang diambil.

Sebelum ini, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun menyatakan kerajaan negeri memutuskan untuk tidak membenarkan aktiviti rumah terbuka, jamuan, kunjung mengunjung dan ziarah tanah perkuburan sempena Hari Raya Aidiladha kali ini.

Langkah itu berikutan peningkatan kes Covid-19 yang dilaporkan di Sabah dan sebagai usaha mengawal penularan Covid-19 di negeri ini.

Semalam, Masidi berkata, berdasarkan pemantauan di 116 SJR di Sabah, sebanyak 26,416 buah kenderaan telah diperiksa dalam tempoh 24 jam.

Daripada jumlah itu, 88 buah kenderaan diarah berpatah balik. – Utusan Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *