Kluster Sedia Ada Penyumbang Utama Kes Baharu Covid-19 Kekal Tinggi Di Sabah – Masidi

Datuk Seri Masidi Manjun.

KOTA KINABALU: Jumlah kes baharu Covid-19 di Sabah kekal lebih 600 buat hari ketiga berturut-turut apabila 651 kes dicatatkan hari ini, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Masidi Manjun.

Beliau berkata, antara penyumbang utama kes baharu daripada kluster sedia ada iaitu sebanyak 372 kes atau 57.1% daripada jumlah keseluruhan dicatatkan hari ini.

“Jumlah kes (Covid-19) kekal sangat tinggi untuk hari ketiga berturut-turut, hari ini 651 (kes baharu).

“Sebanyak 146 daripada 244 kes baharu di Kota Kinabalu adalah daripada penjara Kepayan manakala 26 daripada 60 kes baharu di Tawau adalah daripada penjara di daerah itu manakala 39 daripada 40 kes di Kalabakan datangnya daripada kluster Agathis.

“Secara keseluruhan, 57.14% daripada jumlah kes baharu di Sabah, hari ini, adalah daripada kluster sedia ada manakala 25.83% daripada kluster penjara,” katanya ketika dihubungi.

Masidi yang juga jurucakap negeri berkaitan Covid-19 berkata, dua lagi kluster baharu direkodkan di Sabah, hari ini, iaitu kluster Pauh di Kinabatangan dan kluster Angsana di Papar.

Katanya, kluster Pauh mencatatkan 23 kes baharu manakala kluster Angsana merekodkan 29 kes, hari ini. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *