PPM Patahkan Cubaan Seludup Petrol Bernilai Lebih RM100,000

Sebahagian minyak petrol yang dirampas. – Pasukan Polis Marin W4 Sabah

SEMPORNA: Cubaan dua lelaki menyeludup keluar petrol ke negara jiran gagal selepas kegiatan mereka berjaya dikesan Pasukan Polis Marin (PPM) di Pondohan, laut Kuala Bibang, di sini, awal pagi tadi.

Dalam serbuan jam 2 pagi itu, dua lelaki terbabit dikesan sedang memunggah barang dari sebuah rumah ke dalam dua bot laju.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna, Deputi Superintendan Mohammad Ismail berkata, menyedari kehadiran polis, dua lelaki terbabit terus bertindak melarikan diri.

Katanya, pemeriksaan lanjut di rumah berkenaan menemui beberapa tong plastik berisi petrol.

“Seterusnya pemeriksaan terhadap dua bot laju juga menemukan beberapa lagi tong plastik berisi petrol.

“Siasatan mendapati petrol ini disyaki cuba diseludup keluar ke Filipina,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Mohammad berkata, jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM113,552.50 dan rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Semporna untuk siasatan lanjut.

Dua bot yang ditahan dengan muatan minyak petrol. – Sebahagian minyak petrol yang dirampas. – Pasukan Polis Marin W4 Sabah

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang secara terus ke talian 24 jam atau menggunakan aplikasi WhatsApp ke Pusat Komunikasi PPM Sabah di talian 0132831197. -Asiatimes

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *