Kampung Tanjung Aru Terbakar Lagi

Kebakaran memusnahkan lebih 15 rumah di Kampung Tanjung Aru Baru, Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: Penduduk Kampung Tanjung Aru Baru sekali lagi dikejutkan dengan kebakaran apabila lebih 15 rumah musnah dalam kebakaran, awal pagi tadi.

Dalam kejadian 4.20 pagi itu, api dipercayai tercetus dari sebuah rumah sebelum merebak dan memusnahkan rumah lain berikutan kedudukannya yang rapat antara satu sama lain.

Selain itu, lima kenderaan milik penghuni di kampung berkenaan turut musnah,

Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan cedera atau kehilangan nyawa apabila semua penghuni sempat menyelamatkan diri.

Ketua Zon I Kota Kinabalu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Hamsa Isnurdini berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.32 pagi.

Katanya, sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu dan Penampang dikerah ke lokasi kejadian sebelum tiba lima minit kemudian.

“Sebaik tiba di lokasi, api didapati sedang marak sehingga memusnahkan 15 rumah berstruktur kayu atas air.

“Pasukan bomba yang turut dibantu penduduk kampung berjaya mengawal kebakaran daripada terus merebak dan menyelamatkan sebahagian lagi rumah berdekatan,” katanya ketika ditemui di lokasi kebakaran berkenaan.

Hamsa berkata, api dikawal pada 5.49 pagi dan operasi pemadaman sisa kebakaran masih berjalan.

Kebakaran memusnahkan lebih 15 rumah di Kampung Tanjung Aru Baru, Kota Kinabalu

“Punca kejadian dan jumlah kerugian masih disiasat,” katanya.

Operasi turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

Kejadian kebakaran di penempatan rumah atas air di Tanjung Aru adalah yang ketiga.

Kejadian pertama pada 25 Mei lalu, sebanyak 25 rumah musnah dalam kebakaran dan kejadian kedua pada 6 Julai lalu membabitkan 10 rumah musnah terbakar. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *