Jangan Ulangi ‘Kesilapan’ Aidilfitri Lalu

Noor Hisham

KUALA LUMPUR: Masyarakat diingatkan supaya mengambil iktibar dan tidak mengulangi sikap tidak bertanggungjawab hingga menyebabkan wujudnya kluster perayaan dan rentas negeri akibat penularan Covid-19 seperti Jun lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, larangan rentas daerah dan negeri masih lagi berkuat kuasa, serta larangan kunjung mengunjung bagi menyambut perayaan juga tidak dibenarkan.

“Jangan pula dalam keseronokan menyambut Hari Raya Korban menyebabkan kita sama-sama ‘terkorban’ dek kerana Covid-19.

“Dalam tempoh 1 Jun sehingga 16 Julai (semalam) sahaja, sebanyak 1,010 kes positif Covid-19 dilaporkan dalam 21 kluster rentas negeri iaitu daripada 5,681 individu yang disaring (kadar positiviti 17.8 peratus).

“Kluster-kluster ini didapati membabitkan aktiviti rentas negeri bagi tujuan sambutan perayaan, mengunjungi ahli keluarga, menghadiri majlis pengebumian serta atas urusan kerja,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, negeri yang melaporkan jumlah kluster rentas negeri tertinggi sejak 1 Jun lalu adalah Perak dengan lapan (8) kluster (38.1 peratus), Terengganu dengan lima (5) kluster (23.8 peratus) serta Kelantan dengan tiga (3) kluster (14.3 peratus).

“Kumpulan berisiko tinggi seperti warga emas, mereka yang mempunyai masalah kesihatan seperti penyakit diabetes atau kanser adalah kumpulan yang sangat mudah terkesan dengan jangkitan Covid-19.

“Kita harus sedar bahawa sistem pertahanan tubuh mereka adalah lebih rendah dan membuatkan mereka mudah dijangkiti Covid-19.

“Tahap kesihatan mereka juga mudah merosot apabila dijangkiti Covid-19, sehingga ada yang boleh membawa kepada kematian,” katanya.

Justeru itu, katanya, KKM ingin menyeru masyarakat supaya mengambil iktibar dan tidak mengulangi sikap tidak bertanggungjawab, khususnya semasa sambutan Aidiladha yang akan diraikan pada 20 Julai ini. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *