“Tolonglah, Jangan Rentas Daerah & Negeri Ketika Aidiladha” – TPM

KUANTAN: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan seluruh rakyat Malaysia agar jangan sesekali melakukan aktviti rentas daerah atau negeri semasa sambutan Hari Raya Aidiladha.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, seluruh negara ketika ini sama ada yang di bawah kategori Fasa 1 atau Fasa 2, masih belum boleh berbuat demikian.

Malah Ismail Sabri turut menggesa masyarakat mengambil iktibar beberapa kes lonjakan jangkitan COVID-19 yang berlaku setelah melakukan rentas daerah dan negeri semasa sambutan Aidilfitri lalu.

Tegas beliau, sekalipun ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri lalu prosedur operasi standard (SOP) tidak membenarkan aktviti rentas daerah dan negeri, namun, ada dalam kalangan rakyat Malaysia yang secara ‘curi-curi’ balik kampung melalui ‘jalan tikus’ semata-mata untuk meraikannya bersama keluarga.

“Saya harap semua kita mengambil iktibar daripada kes yang berlaku selepas Hari Raya Aidilfitri dulu walaupun ketika itu dari segi SOP, rentas daerah, rentas negeri masih belum dibenarkan, tetapi ramai yang curi-curi balik, ramai yang ikut ikut lorong tikus dan sebagainya.

“Kalau kita lihat kes rentas negeri, kluster itu memuncak selepas itu (Aidilfitri). Kes di Terengganu misalnya, seluruh keluarga dijangkiti (COVID-19) dan ada yang meninggal dunia. Begitu juga di Kelantan, pun ada kes yang sama… jadi saya harap (kes-kes) itu menjadi iktibar kepada kita,” kata beliau.

Ismail Sabri yang juga Menteri Kanan Keselamatan berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di Pusat Pemberian Vaksin di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini pada Jumaat.

Dalam masa sama, Ismail Sabri menasihatkan masyarakat agar bersabar dan menunggu sehingga negara sudah mencapai imuniti kelompok untuk diberi kebenaran merentas daerah dan negeri di Fasa 3 dan Fasa 4.

“Tolonglah, jangan rentas negeri dan rentas daerah. Insya-Allah kalau vaksin telah dapat kita berikan kepada rakyat, bila komuniti berkelompok sudah diperoleh (melalui) Fasa 3 atau Fasa 4, rentas daerah dan rentas negeri akan dibenarkan.

“Jadi tunggulah fasa yang akan datang, Fasa 3 boleh rentas daerah dan Fasa 4 boleh rentas negeri, jadi sabarlah sedikit,” jelas Timbalan Perdana Menteri lagi. – AWANI

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *