Perdaya Wanita, Bekas Wakil Anak Negeri Didenda RM5,000

TAWAU: Seorang bekas Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN) didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen Khas Rasuah, di sini, hari ini atas kesalahan memperdaya seorang wanita pada 2016.

Hakim Abu Bakar Manat menjatuhkan hukuman itu terhadap Minur Jimes, 54, selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan yang dihadapinya.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dihukum tiga bulan penjara sekiranya gagal membayar denda berkenaan. Tertuduh membayar denda itu.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memperdaya seorang wanita dan adiknya kononnya untuk membantu mengeluarkan sijil daftar lewat kelahiran serta kad pengenalan sehingga mangsa menyerahkan wang tunai berjumlah RM1,200.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di kaki lima Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Cawangan Sandakan, pada Februari 2016.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rekhraj Singh, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum ini, media melaporkan tertuduh yang juga seorang peniaga ditahan SPRM Cawangan Lahad Datu selepas hadir memberi keterangan kira-kira jam 2 petang pada 14 Julai lalu. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *