Kluster Kayu Patikang Lonjak Kes Di Sabah

KOTA KINABALU: Kluster Kayu Patikang yang dilaporkan di daerah Keningau semalam, terus menjadi penyumbang tertinggi saringan kluster COVID-19 di Sabah dengan 37 lagi kes baharu dilaporkan hari ini.

Semalam, kluster yang dicetuskan seorang kanak-kanak perempuan bukan warga negara berumur empat tahun itu mencatat 19 kes positif COVID-19, menjadikan jumlah kumulatif kes sehingga hari ini meningkat kepada 56 kes.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, dalam kenyataannya malam ini, berkata hanya kluster itu menjadi penyumbang kes baharu positif COVID-19 di Keningau hari ini.

Katanya, Kluster Serudung Baru di Tawau yang mencatat 21 kes baharu menjadi kluster kedua paling aktif di Sabah hari ini dan penyumbang tertinggi kes positif dilaporkan di daerah Tawau.

“Daripada 38 kes baharu positif COVID-19 yang dilaporkan di Tawau hari ini, sebanyak 21 kes berpunca daripada Kluster Serudung Baru, 13 kes melalui saringan bergejala, dua kes menerusi saringan bergejala dan satu kes daripada saringan lain,” katanya.

Kluster Serudung Baru dilaporkan pada 21 Jun lalu dipercayai tercetus melalui penganjuran majlis hari jadi di rumah kes indeks iaitu seorang warga tua berumur 60 tahun yang disahkan positif COVID-19 melalui saringan bergejala pada 16 Jun lalu.

Masidi berkata, empat lagi kluster sedia ada turut dikesan mencatat peningkatan kes aktif COVID-19 hari ini iaitu Kluster Siasai Dundau (11 kes), Kluster KKIP Empat Timur (11), Kluster Tanjung Pitas (tujuh) dan Kluster Lumadan (lima).

Katanya, dua lagi kluster iaitu Kluster Bahtera Barat dan Kluster Limbawang, masing-masing mencatat satu kes baharu.

“Secara keseluruhan, saringan kluster sedia ada menyumbang 94 kes atau 31.5 peratus daripada 298 jumlah kes harian di Sabah hari ini.

“Penyumbang terbanyak ialah melalui saringan kontak rapat iaitu 115 kes atau 38.5 peratus daripada kumulatif kes harian di Sabah.

“Saringan kluster dan kontak rapat menyumbang 70 peratus daripada kumulatif harian kes yang dicatatkan hari ini,” katanya.

Sabah merekodkan 298 kes baharu COVID-19 hari ini, meningkat 27 kes berbanding 271 kes semalam, manakala dua kematian dilaporkan, masing-masing satu di Lahad Datu dan Papar.

Daerah Kota Kinabalu mencatat kes tertinggi dengan 67 kes, disusuli Tawau (38) dan Keningau (37), manakala daerah Tenom kembali ke zon hijau, menjadikan tiga daerah berada dalam zon hijau hari ini dengan dua lagi ialah Telupid dan Beluran. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *